Monday, October 6, 2008

Di mana saya boleh melabur?

Oleh Datin Mariam Yusof


Banyak orang tahu bagaimana hendak mencari wang tetapi tidak tahu cara untuk mengembangkannya. Sering dikatakan, orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin. Sebabnya ialah, orang kaya melaburkan wang mereka, menjadikan wang itu berkembang, sementara orang miskin pula menghabiskan wang dengan membelanjakannya.

Lazimnya ada empat cara untuk membina kekayaan setelah anda menyimpan cukup wang:

1.

Kumpul barang yang nilainya akan naik.

2.

Beli harta tanah. Membeli rumah sebagai tempat tinggal adalah pelaburan tetapi, membeli lebih banyak rumah membolehkan anda memperoleh pendapatan daripada sewaan.

3.

Beli saham dan bon.

4.

Mulakan perniagaan jika anda mempunyai kemahiran keusahawanan. Anda mungkin membuat kesilapan tetapi belajarlah daripada kesilapan itu, bekerja keras dan jika perniagaan anda berjaya, anda mendapat pulangan yang lebih banyak.

Definisi Pelaburan
“Pelaburan ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh untuk memperoleh kadar pulangan yang dikehendaki, dengan menyedari sepenuhnya mengenai risiko yang terbabit. Perkara yang perlu diingat ialah walaupun kadar pulangan boleh dijangka, ia tidak terjamin.”

Terdapat jenis-jenis pelaburan yang berbeza, bergantung kepada toleransi risiko anda.

ASN/ASB
Sebelum anda mula membeli rumah atau kereta atau mempertimbangkan mana-mana pelaburan lain, ambil langkah pertama dengan melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Nasional (ASN) kerana kerajaan menjamin dana ini dan sering memberi dividen yang lebih tinggi berbanding pasaran saham. Tidak ada di dunia ini kerajaan yang menawarkan produk pelaburan yang selamat seperti ini.

Pembayaran ASN/ASB

PRESTASI LEPAS

1998

1999

2000

2001

ASN

Pengagihan bersih per unit (sen)

6.50

8.25

8.00

5.00

ASB

Pengagihan bersih per unit (sen)

8.00

10.50

9.75

7.00

Bonus per unit (sen)

2.50

1.50

2.00

3.00

Matlamat Kewangan dan Toleransi Risiko
Pertama sekali anda perlu menentukan matlamat kewangan anda. Adakah anda menabung untuk dana pendidikan anak? Adakah anda menabung untuk persaraan? Atau adakah anda mempunyai wang lebih dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan wang tersebut? Jawapan bagi soalan-soalan ini akan menentukan berapa banyak risiko yang boleh anda tanggung. Kemudian, buat keputusan di mana anda hendak melaburkan wang anda.

Pasaran Modal
Pasaran modal terdiri daripada pasaran ekuiti saham dan instrumen pendapatan tetap atau bon. Ia juga mempunyai pasaran derivatif yang terdiri daripada niaga hadapan, opsyen, swap dan lain-lain. Jangan takut pada semua ini, sebaliknya baca dan tanya soalan untuk mengetahui lebih mendalam tentang produk yang ditawarkan dalam pasaran.

Pasaran Saham
Pasaran saham ialah pasaran yang menyediakan alternatif kepada syarikat untuk menjana modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Ia juga tempat pelabur melaburkan wang mereka dengan membeli saham syarikat awam tersenarai. Dengan membeli saham, anda membeli hak milik aset syarikat. Anda juga menjadi pemegang saham dan mempunyai hak kepada dividen apabila ia diisytiharkan serta mengundi dalam mesyuarat agung.

Saham memperoleh pulangan melalui dua cara:

1.

Untung modal iaitu perbezaan antara harga belian dan harga jualan.

2.

Dividen interim dan akhir seperti yang diisytiharkan oleh syarikat.

Untuk melabur dalam saham, anda tidak perlu terlalu bijak. Anda perlu membuat penyelidikan, dan berdisiplin dalam melakukannya. Anda boleh mendapat banyak maklumat daripada broker saham, BSKL, malah daripada berita kewangan dalam akhbar harian. Terdapat maklumat percuma atau pada harga murah yang mencukupi untuk digunakan dalam membuat keputusan berdasarkan maklumat.

Terdapat dua cara melabur dalam pasaran saham.

1.

Analisis fundamental melihat kepada fundamental kualitatif dan kuantitatif syarikat, penyata kewangan syarikat, ekonomi negara dan situasi politik.

2.

Analisis teknikal mengkaji pergerakan harga menggunakan carta untuk meramal pergerakan harga masa hadapan.

Pegangan asas dalam melabur dalam pasaran saham ialah “Beli pada harga rendah, jual pada harga tinggi.” Anda juga perlu mempunyai pendekatan sistematik dan belajar mengurangkan kerugian. Sesetengah orang terus memegang saham mereka kerana percaya bahawa harga akhirnya akan naik – mungkin juga harga saham itu tidak akan naik dan selepas 10 tahun, anda mungkin masih memegang saham yang telah jatuh jauh di bawah harga belian. Apabila saham anda jatuh harga, hentikan kerugian dan jual kesemuanya.

Prestasi pasaran saham ialah hasil beberapa faktor yang boleh mempengaruhi harga saham. Faktor-faktor tersebut termasuk:

Persekitaran ekonomi dan politik

Dasar monetari

Pergerakan kadar pertukaran

Kadar faedah

Ekonomi global dan perkembangan politik.

Kategori Saham
Ini ialah cara broker saham secara umumnya mengkategorikan jenis saham yang berbeza.

Saham mewah ialah saham syarikat dengan rekod prestasi pendapatan tinggi dan dividen baik yang tidak terjejas. Syarikat ini mempunyai asas yang kukuh, memberi dividen yang baik (5-8%) dan mempunyai perniagaan yang stabil.

Sebaliknya saham yang terakhir sekali ialah third liners iaitu syarikat dengan asas yang lemah.

Second liners ialah saham yang kedudukannya antara saham mewah dengan third liners.

Saham pertumbuhan ialah saham syarikat yang memberikan pertumbuhan yang tinggi. Syarikat ini mengekalkan perolehan untuk terus mengembangkan perniagaan dan oleh itu biasanya memberikan dividen yang rendah. Tetapi syarikat sepatutnya memberi perolehan modal tinggi kerana harga saham mereka naik bersama-sama perniagaan.

Saham kitar ialah saham yang bergantung kepada kitaran ekonomi. Sebagai contoh, industri berat dan keluli yang lazimnya berprestasi baik apabila berlaku pengembangan ekonomi, dan merosot apabila keadaan ekonomi teruk. Prestasi syarikat seperti ini bergantung kepada kitaran perniagaan.

Saham pendapatan membayar dividen yang tinggi dan lumayan, misalnya syarikat rokok.

Saham bertahan adalah baik untuk pelaburan apabila prospek ekonomi menjadi suram. Ini ialah saham yang paling kurang dipengaruhi oleh kemerosotan ekonomi, umpamanya syarikat perniagaan makanan dan barang pengguna. Ia merupakan saham dengan pendapatan masa hadapan yang dapat bertahan dengan kemerosotan ekonomi.

Kategori Pelabur
Sama seperti jenis saham yang berbeza, jenis pelabur juga berbeza. Ada pelabur institusi yang kebanyakannya ialah dana pesara, insurans dan unit amanah. Terdapat juga pelabur runcit iaitu pelabur individu yang melabur dalam pasaran modal, dan di Malaysia, pelabur runcit terdiri daripada 60-70% dan oleh itu mempunyai pengaruh yang kuat dalam pasaran.

No comments: